JPBB Miri Tinjau 4 PPV Swasta, Ucap Tahniah Kepada Petugas Barisan Hadapan

RABU, 25 OGOS 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang diketuai Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin telah mengadakan tinjauan ke empat buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Swasta di Miri pada Selasa. 

Empat buah PPV Swasta tersebut ialah Borneo Medical Centre (BMC) Miri, Miri City Medical Centre (MCMC), Columbia Asia Hospital Miri dan Hospital KPJ Miri.

Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas hadapan di PPPV Swasta tersebut atas kerjasama dan sumbangan yang berharga untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Miri.

“Tanpa penglibatan dan sumbangan dari institusi perubatan swasta ini, PICK di Bahagian Miri tidak dapat mencapai 85 peratus imuniti kelompok (setakat ini) pada tempoh lebih awal daripada dijadualkan,” katanya. 

Sepanjang PICK Bahagian Miri, keempat-empat PPV Swasta ini telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada rakyat antaranya PPV Borneo Medical Centre (BMC) Miri yang mula beroperasi pada 14 Jun 2021 dan berakhir pada 20 Ogos 2021 dengan berjaya memberi suntikan sebanyak 10,874 dos vaksin.

Sementara itu, PPV Miri City Medical Centre (MCMC) pula yang memulakan operasi pada 14 Jun 2021 dan berakhir pada 17 Ogos 2021 telah berjaya memberi suntikan sebanyak 3,047 dos vaksin.

Ini diikuti PPV Columbia Asia Hospital Miri yang mula beroperasi pada 25 Mei 2021 dan berakhir pada 20 Ogos 2021, dan telah  berjaya memberi suntikan sebanyak 4,895 dos vaksin.

Manakala, PPV Hospital KPJ Miri mula beroperasi pada 21 Jun 2021 dan berakhir pada 18 Ogos 2021 dengan berjaya memberi suntikan sebanyak 4,880 dos vaksin.

Turut serta dalam lawatan termasuk ialah Pemangku Residen Bahagian Miri Jamalie Busri, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Miri Edward Tawang, Pengarah Perubatan BMC Miri Dr Kenny Yeap, Pegawai Bertanggungjawab Miri City Medical Centre (MCMC) Dr Terrence Teow Teik Leong, Pengurus Hospital Columbia Asia Yeoh Kim Looi dan Pengurus Hospital KPJ Miri Denis Saving Boniface.-EDISI UKAS