26 JKKK, Persatuan & Rumah Ibadat Di DUN Muara Tuang Terima Cek ‘Outright Grant’

KHAMIS, 26 OGOS 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 26 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan dan rumah ibadat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima cek ‘Outright Grant’ (OG) berjumlah RM843,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang telah menyampaikan cek tersebut secara simbolik kepada wakil bagi setiap penerima di Marqas Operasi ADUN Muara Tuang pada Rabu.

Majlis telah dilakukan secara berperingkat yang bermula dari 19 Ogos lepas bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelak daripada penularan wabak COVID-19.

Antara yang menerima cek itu ialah JKKK Melayu, JKKK Tanjung Bundong Fasa 2, JKKK Niup, JKKK Betong, JKKK Rimba Padi, JKKK Seniawan, JKKK Merang Baru Serian, Jawatankuasa Masjid Darul Islam Bersatu Kampung Melayu, Jawatankuasa Masjid Darul Ibadah Kampung Meranek, Jawatankuasa Surau Darul Azam Kampung Lubok Ria, dan Jawatankuasa Surau Darul Amanah Kampung Pinang .

Selain itu, turut menerima adalah Kelab Ketua Masyarakat Daerah Samarahan, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Saberkas Cawangan Muara Tuang, Sarawak Scout Council, Pertubuhan Peladang Kawsan Samarahan, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Samarahan, PIBG SK Samarahan Estate dan PIBG SK Dato Mohd Musa.

Sementara itu, Dato’ Idris dalam kenyataan ringkasnya, memohon kepada wakil penerima agar menggunakan peruntukan tersebut dengan baik serta mengikut keperluan dalam menganjurkan aktiviti masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat khususnya di kawasan DUN Muara Tuang supaya tidak mengambil ringan dengan situasi terkini serta sentiasa mengikut SOP memandangkan varian Delta sedang menular di negeri ini.-EDISI UKAS