Kerajaan Sarawak Tubuh Pasukan Petugas Khas Siasat Fenomena Longgokan Sisa Kayu Di Batang Baleh & Batang Rajang

KHAMIS, 26 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan negeri telah memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Kementerian Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli Sarawak bagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mencari jalan penyelesaian berhubung kejadian fenomena longgokan sisa kayu di Batang Baleh dan Batang Rajang baru-baru ini.

Fenomena itu telah menarik perhatian banyak pihak dan kerajaan Sarawak turut prihatin terhadap kesan kepada alam sekitar termasuk kehidupan penduduk sepanjang sungai tersebut.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menerusi kenyataan media pada Khamis berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihaknya dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Lembaga Sungai Sarawak (SRB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) pada 22 Ogos lepas mengesahkan insiden itu disebabkan hujan lebat sehingga mencetuskan pergerakan serpihan kayu di tapak empangan Projek Hidroeletrik (HEP) Baleh keluar melalui saluran yang memasuki Sungai Rajang.

Jelas beliau, kesemua pemegang lesen dan kontraktor yang terlibat dengan HEP Baleh turut bertanggungjawab membersih dan membuang serpihan kayu itu.

Justeru katanya, Jabatan Hutan Sarawak akan memperketatkan pemantauan untuk memastikan kejadian malang ini tidak berulang pada masa depan. –EDISI UKAS