KPDNHEP Cawangan Bintulu Periksa 7 Premis Makanan Menggunakan Logo Halal

KHAMIS, 26 OGOS 2021

BINTULU: Sebanyak 7 premis yang terdiri 3 buah hotel, 3 buah restoran makanan segera dan sebuah restoran makanan laut telah diperiksa dalam operasi (OPS Suci) ke atas premis-premis yang menggunakan logo halal di sekitar bandar Bintulu pada Selasa. 

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu Nazari Hassan dalam sidang media pada Rabu berkata, pemeriksaan dilakukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Akta Cap Dagangan 2019 (bagi kesalahan cap dagangan palsu berkaitan logo halal JAKIM/JAIN).

“Pemeriksaan ini merangkumi penggunaan perbahasaan halal oleh premis, semakan ke atas status persijilan halal dan kesahihan dokumen-dokumen daripada pihak pembekal. 

“Selain itu, aspek kebersihan juga amat dititiberatkan terutama bahagian dapur (keadaan) bagi memastikan penyediaan makanan adalah mengikut syarak dan tidak menggunakan bahan-bahan yang meragukan. 

“Dari hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis-premis ini mematuhi setiap peruntukan dibawah perundangan dan kriteria yang ditetapkan,” katanya. 

Dalam pada itu, ujar Nazari lagi, KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga persendirian atau syarikat agar tidak sewenang-wenang mengunakan logo halal yang tidak diiktiraf atau apa jua penyataan atau ungkapan yang mengelirukan pengguna berhubung status halal makanan atau barangan mereka. 

“Ungkapan halal seperti ‘ditanggung halal’, ‘makanan orang Islam’, ‘buffet Ramadan’ dan lambang lain atau objek Islam yang mengelirukan adalah dilarang,” ujarnya. 

Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin membuat permohonanan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal, permohonan juga boleh dibuat secara atas talian di http:/apps.halal.gov.my/myehalal. 

Begitupun, permohonan pensijilan halal di Malaysia adalah sukarela dan tidak diwajibkan.

Sementara itu, Nazari turut menambah, peniaga juga perlu berhati-hati dalam menjual atau mengedar produk makanan atau bahan-bahan untuk memproses makanan terutama yang diimport daripada luar negara yang mungkin diragui status pensijilan halal. 

Bagi produk makanan atau barang yang diimport peniaga sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah bagi mengesahkan status pensijilan halal negara yang berkaitan kerana pihak JAKIM telah menyediakan kemudahan saluran semakan melalui portal halal di www.halal.gov.my atau dari laman web Jabatan Agama Negeri masing-masing. 

“Hukuman mereka yang melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 adalah denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda sehingga RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan. 

“Kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 pula boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan denda sehingga RM5 juta,” tambahnya. 

Justeru, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika mengunjungi premis-premis yang menggunakan logo halal atau apa-apa ungkapan halal yang meragukan. 

Sekiranya terdapat keraguan mengenai status halal atau apa jua isu halal yang tular mereka perlu merujuk dahulu kepada pihak yang berwibawa seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi mendapatkan pengesahan.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), whatsapp ke 019- 279 4317 dan lapor atau hadir ke mana-mana 72 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.-EDISI UKAS