Sarawak Akan Beri Vaksin Kepada Golongan 12-17 Tahun, Tunggu Arahan KKM

KHAMIS, 26 OGOS 2021

SPAOH: Sarawak akan melangkah kepada fasa seterusnya untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Nengeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pemvaksinan untuk golongan tersebut akan bermula sebaik sahaja menerima arahan seterusnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita akan melakukan pemvaksinan kepada golongan berumur 12 hingga 17 tahun tidak lama lagi.

“Dianggarkan program ini akan melibatkan kira-kira seramai 96,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Kepolisan Komuniti yang dihadiri seramai 55 Tuai Rumah dari kawasan Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh pada Rabu.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, golongan 12 hingga 17 tahun sebelum ini dilaporkan telah merekodkan sebanyak 23.34 peratus kes jangkitan.

Dalam pada itu beliau berkata, peningkatkan kes positif sejak kebelakangan ini yang disebabkan varian Delta dan memerlukan orang ramai terus mematuhi arahan penjagaan kesihatan kendiri.

“Krisis tersebut bukan hanya melanda Sarawak malah terjadi di Brunei yang sebelum ini tiada merekodkan kes positif,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM270 juta sejak ari Februari 2021 bagi tujuan pembekalan vaksin.

“Peruntukan ini diluluskan Ketua Menteri dan masih belum digunakan selepas mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menolak cadangan kerajaan Sarawak untuk membeli vaksin sendiri,” katanya.

Beliau juga menambah, hubungan baik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sebelum ini menjadi faktor kepada kejayaan Sarawak berjaya memberi vaksin kepada 91 peratus mereka yang layak sehingga semalam.

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Douglas berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM87 juta kepada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak untuk meneruskan program pembangunan pertanian.

Katanya, jumlah tersebut termasuk RM50 juta untuk Dana Fasilitasi Pertanian (AFF).

“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan sektor pertanian dan memperkasakan ekonomi rakyat selaras dengan agenda Sarawak menjadi pengeluar produk makanan menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menambah, program lain juga dipertingkatkan untuk tujuan sama termasuk mewujudkan terminal produk makanan dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (CPPC).

Sementara itu, ketika ditemui selepas melakukan tinjauan Green World Genetics (GWS) Debak Station, Datuk Amar Uggah berkata, GWS Debak kini sedang menjalankan kajian dan pembangunan terhadap 102 variasi padi yang ditanam di kawasan berkeluasan 1.5 hektar.

Ujarnya, variasi benih yang didapati sesuai akan diperkenalkan kepada petani tempatan yang dapat menghasilkan sehingga dua tan setiap musim.-EDISI UKAS