KHAMIS, 26 OGOS 2021
BAU: Sebuah Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Daerah Bau telah dibuka dan mula beroperasi sejak 22 Ogos lepas.
Pengarah Hospital Bau, Dr. Jasmany Liboh memaklumkan PKRC Hotel Ara Bau dibuka susulan peningkatan kes COVID-19 yang semakin meningkat di daerah Bau dan kebanyakkan PKRC di Kuching tidak dapat menampung kemasukan pesakit COVID-19 yang baharu.
“PKRC ini dikhaskan untuk pesakit kategori satu hingga tiga dan telah menerima pesakit sejak 23 Ogos 2021.
“Sebanyak 60 katil disediakan yang akan ditambah mengikut keadaan semasa dan ‘portable’ oksigen disediakan sekiranya berlaku kes kecemasan,” katanya pada Khamis.
Dr. Jasmany menambah, seramai 10 orang petugas dari hospital Bau ditugaskan secara bergilir termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melancarkan operasi di PKRC tersebut. –EDISI UKAS