Seramai 9,937 Pengasuh & Pendidik Di Sarawak Telah Divaksinasi: Dato Sri Fatimah

KHAMIS, 26 OGOS 2021

KUCHING: Seramai 9,937 daripada 10,133 atau 98 peratus guru, penolong guru dan pengasuh di bawah pelbagai agensi di Sarawak telah divaksinasi setakat ini.

Demikian jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah bagi menjawab satu laporan yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan pada Khamis.

Beliau menegaskan, kementeriannya bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), PPV UTC dan PPV Majma dalam menjalankan program vaksinasi untuk guru, pembantu guru dan pengasuh.

“Setakat hari ini (Khamis) seramai 9,937 daripada 10,133 atau 98 peratus guru, penolong guru dan pengasuh di bawah pelbagai ejensi di Sarawak telah divaksinasi.

“Selain inisiatif dan komitmen untuk memastikan mereka divaksin, pihak kami juga ingin meminta ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak kecil untuk turut menerima vaksinasi kerana ianya adalah tanggungjawab semua demi keselamatan anak-anak,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab status vaksinasi di kalangan pengasuh dan pendidik di Sarawak susulan daripada keprihatinan seorang aktivis, Voon Shiak Ni berkenaan pekerja pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah perlu divaksinasi yang dilaporkan dalam satu akhbar tempatan. –EDISI UKAS