KHAMIS, 26 OGOS 2021
KUCHING: Penyertaan lima atlet para dari Sarawak dalam temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diharap dapat mengubah perspektif masyarakat terhadap keupayaan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ia ditegaskan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah sambil merakamkan tahniah kepada lima atlet berkenaan kerana terpilih mewakili negara ke temasya dunia itu.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pemilihan atlet para kita dari Sarawak mewakili Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Kejayaan untuk dipilih ke sukan paralimpik diharap dapat membuka mata orang ramai sekaligus mengubah sikap dan perspektif terhadap keupayaan OKU,”katanya pada sidang media ‘Let’s Support Our Para Athletes In Tokyo Paralympics 2020’ menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.
Jelas Dato Sri Fatimah, lima atlet tersebut adalah jaguh ‘Powerlifting’ para negara, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie, atlet para ‘Swimming’, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Jamery Siga dan atlet para ‘Archery’, Wiro Julin.
Dalam pada itu, beliau berharap agar urusan kesemua atlet paralimpik berjalan dengan lancar dan mendoakan keselamatan mereka di Tokyo. –EDISI UKAS