Pelantikan Hasbi Diharap Dapat Membangunkan Daerah Limbang

JUMAAT, 27 OGOS 2021

LIMBANG: Pelantikan Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 2 disambut baik Ahlli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang. 

Ketika ditanya media selepas Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Jumaat, beliau mengucapkapkan tahniah di atas pelantikan itu dan berharap dapat membangunkan kawasan luar bandar di Daerah Limbang. 

“Saya percaya dengan perlantikan Datuk Hasbi untuk menyertai Kabinet akan dapat membantu kawasan Limbang amnya dan DUN Batu Danau khususnya. 

“Ini adalah kerana beliau di dalam kementerian yang bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar.

“Saya berharap agar terdapat banyak pembangunan yang akan masuk ke kawasan Batu Danau,” katanya. 

Dalam pada itu, Paulus turut mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah dilantik sebagai Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Temenggung Wilie Marum Liau, Ketua Masyarakat Bisaya Temenggong Nickholas Buyok Pura, Pemanca Jun Sillah, Penghulu Ekit Awang dan Penghulu Lalam Sambat.-EDISI UKAS