Pustaka Negeri Sarawak Adakan Festival Sarawakiana Secara Maya

JUMAAT, 27 OGOS 2021

KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan mengadakan festival Sarawakiana secara maya pada tahun ini. 

Dalam kenyataan media pada Jumaat, penganjuran festival Sarawakiana pada tahun ini bertemakan daun. 

“Festival pada kali ini akan membawa sedikit kelainan daripada sebelumnya kerana akan menerapkan norma baharu di dalam setiap aktiviti yang dijalankan. 

“Tema “Daun” dipilih kerana ianya menggambarkan kepentingan dan penggunaan daun-daun tempatan, terutamanya di kalangan pelbagai etnik di Sarawak.

“Keunikan budaya dan kesenian, sejarah, adat dan tradisi juga akan diketengahkan pada festival ini menerusi pelbagai aktiviti dan program menarik yang telah dirancang seperti pameran mengenai keunikan pelbagai jenis daun secara maya, ceramah dan sebagainya,” katanya. 

Jelas kenyataan itu lagi, maklumat dan ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada penganjuran festival ini akan didokumentasikan agar ianya terus dipraktikkan dan dipelihara untuk kelestarian generasi yang akan datang.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa menyertai Festival Sarawakiana 2021 bermula pada 1 hingga 30 September 2021 akan datang. 

Orang ramai boleh layari https://www.pustaka-sarawak.com/apps/festivalsarawakiana/# atau imbas pada kod QR di poster untuk maklumat mengenai program yang akan diadakan.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi pegawai seranta Pustaka Negeri Sarawak di talian 082-440488 atau melalui emel izaruddin@sarawak.gov.my Izaruddin Moss atau cmasyima@sarawak.gov.my Dayang Nur Syima Awang Adrus.-EDISI UKAS