ADUN Tasik Biru Tinjau Kerja Penyelengaraan Sistem Perparitan Jalan Lama Bau-Kuching

SABTU 28 OGOS 2021

BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep telah meninjau kerja penyelenggaraan sistem perparitan yang sedang dilaksanakan di jalan lama Bau-Kuching (Bandar Bau) pada Jumaat.

Tinjauan bertujuan memastikan perjalanan pelaksanaan kerja penyelengaraan tersebut di kawasan berkenaan mengikut jadual dan tidak lewat dari sepatutnya.

Tindakan untuk kerja tersebut dilakukan  susulan aduan daripada beberapa penduduk yang terjejas apabila kediaman mereka di kawasan berhampiran sering dinaiki banjir kilat setiap kali berlaku hujan lebat.

Sistem perparitan yang lemah dikatakan telah menyebabkan laluan air permukaan akibat hujan lebat gagal mengalir ke kawasan sepatutnya lalu menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Malah kejadian banjir kilat juga turut melimpah ke batang jalan raya sehingga menimbulkan kesusahan kepada pengguna.

Hadir sama Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau, Sandra Jujane Jutim.-EDISI UKAS