Banjir Di Tebingan Sungai Baram Mulai Surut

SABTU 28 OGOS 2021

MARUDI: Banjir yang melanda kampung dan rumah panjang yang terletak di tebingan Sungai Baram mulai menunjukkan tanda-tanda surut.

Sehubungan itu, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah melakukan tinjauan di sebuah rumah panjang iaitu Rumah Vincent Tanjung Upar Marudi pada Jumaat.

Semasa tinjauan, didapati air masih lagi berada di kawasan rumah panjang mereka namun air sungai mulai menunjukkan penurunan disebabkan keadaan yang cerah dan tiada hujan lebat sejak dua hari lepas.

Kampung ini sering dilanda banjir di mana pada tahun ini sahaja mereka telah menghadapi banjir sebanyak tiga kali, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan hanya kerosakan harta benda yang berlaku.

Sementara itu, para penduduk berksempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi yang sering membantu dari segi makanan keperluan untuk penduduk yang terjejas akibat banjir.-EDISI UKAS