Beberapa Taman Perumahan Di Bintulu Akan Dikenakan PKPD – Tiong

SABTU, 28 OGOS 2021

BINTULU: Beberapa buah taman perumahan bakal berdepan tindakan ‘dikunci penuh’ di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada minggu depan. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata ia berikutan terdapat kes jangkitan COVID-19 yang dikesan kawasan penempatan terbabit. 

Kebanyakan kes dikesan dari kawasan penempatan atau taman-taman perumahan di Bandar Bintulu. 

“Hari ini (Jumaat), kita telah ‘mengunci’ Taman Jason untuk seminggu kerana mempunyai 20 kes dan ada beberapa buah taman masih dalam pemerhatian dan akan dikunci,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Hotel Promenade Bintulu selepas meninjau meninjau proses Pengesanan Kes Aktif (ACD) di Taman Jason pada Jumaat. 

Justeru, beliau menyeru semua masyarakat di Bintulu terutama mereka yang tinggal di bandar supaya jangan balik ke rumah panjang atau kampung sebaliknya duduk di rumah sahaja.

Dalam pada itu, Datuk Sri Tiong turut meminta penduduk di taman perumahan supaya sekiranya tiada urusan penting, duduk rumah dan hanya keluar untuk urusan kerja dan keperluan penting sahaja. 

“Jika hendak membeli bekalan makanan janganlah membawa anak-anak umur bawah 12 tahun, walaupun yang berumur 13 atau 14 tahun. 

“Ini kerana terdapat satu kes membabitkan kanak-kanak berumur 14 tahun yang didiagnosis positif kerana beliau mengikut ibunya keluar membeli barang. Jika boleh hanya ibu atau bapa yang keluar membeli barang,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu itu turut menyeru semua pemilik premis bilik sewa di atas kedai untuk bekerjasama dengan agensi berkuasa tempatan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bintulu terhadap premis mereka dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan memandangkan premis terbabit tidak mempunyai kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak Lembaga Kemajuan Bintulu untuk mengambil tindakan tegas dengan menggunapakai ordinan berkaitan sekiranya pihak berkenaan masih berdegil,” tegasnya. 

Peningkatan kes di penempatan bilik sewa atau rumah sewa berikutan terdapat kecenderungan pemilik dan penyewa membawa masuk orang luar.

Sekiranya pemilik rumah sewa tidak mahu bekerjasama, beliau mencadangkan kepada BDA untuk menggunakan kuasa yang ada bagi merobohkan kesemua bilik yang ada.-EDISI UKAS