Bonnie Bunyau Raih Emas Pertama Malaysia Di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 

SABTU 28 OGOS 2021

KUCHING: Atlet para negara dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, pada Sabtu. 

Bonnie yang berasal dari Serian menyumbangkan emas dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg). 

Bonnie merangkul emas dengan angkatan terbaik 228 kg sekali gus memecahkan rekod temasya sebelum ini dipegang atlet Iraq, Rasool Mohsin 227kg yang dilakukan di Rio de Janeiro. 

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, menzahirkan kebanggaan dan kegembiraan atas pencapaian Bonnie itu. 

“Akhirnya lagu kebangsaan, Negaraku kedengaran dan Jalur Gemilangdikibarkan di Tokyo. Saya ucapkan tahniah kepada Bonnie Bunyau atas pencapaian pingat emas dan rekod Paralimpik itu. 

“Bonnie telah membuat seluruh rakyat Malaysia dan Sarawak bangga dan ini adalah hadiah untuk Hari Kebangsaan pada tahun ini,” katanya.-EDISI UKAS