SABTU, 28 OGOS 2021
MUKAH: Kejayaan atlet powerlifting negara kelahiran Sarawak Bonnie Bunyau Gustin yang mencatat kejayaan memenangi pingat emas dalam sukan Paralimpik 2020 telah mendapat perhatian Kerajaan Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan itu dan akan memberi insentif kepada Bonnie.
“Saya telah nyatakan awal lagi sewaktu berjumpa dengan semua atlet Paralimpik Sarawak bahawa kita akan memberi insentif sekiranya mereka memenangi pingat emas.
“Mengenai jumlah, kita akan lihat nanti.
“Difahamkan Kerajaan Malaysia juga akan ada memberi insentif. Untuk itu, Kerajaan Sarawak juga akan memberi insentif,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kampus CENTEXS Mukah, Akademi Minyak dan Gas dan Akademi Pertanian di Mukah pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michel Manyin Jawong, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti dan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo dan ADUN Balingian Abdul Yaakub Arbi.-EDISI UKAS