KM Gariskan 3 Perkara Yang Akan Dilaksanakan CENTEXS Mukah

SABTU, 28 OGOS 2021

MUKAH: Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menggariskan tiga perkara yang akan dilaksanakan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Mukah. 

Katanya, tiga perkara itu ialah Apply Technology atau Apply Science, Transformasi Teknologi dan membuka CENTEXS Mukah kepada pelajar luar negara. 

“Pertamanya ialah Apply Technology atau Apply Science. Di sini kita akan menterjemahkan apa yang dipelajari dalam teori kepada  bentuk praktikal.

“Keduanya ialah Transformasi Teknologi iaitu dari sudut kita menguruskan apa yang kita tanam yang menggunakan teknologi dan sedikit daripada impian untuk masa depan.

“Manakala ketiga, ialah Mukah CENTEXS bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi kita akan membuka pengambilan pelajar antarabangsa,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Kampus CENTEXS Mukah, Akademi Minyak dan Gas dan Akademi Pertanian pada Sabtu. 

CENTEXS Mukah telah siap pada Ogos 2021 dan menawarkan 16 program meliputi industri minyak dan gas, dan industri kelapa sawit dan pertanian untuk belia-belia di Bahagian Mukah dan sekitar Bintulu dan Miri. 

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menjelaskan pelaksanaan program dan latihan yang akan dilaksanakan di CENTEXS Mukah akan memfokuskan kepada industri minyak dan gas, dan industri kelapa sawit dan pertanian selaras dengan pembangunan yang ada di Mukah dan sekitarnya. 

“Pertamanya, CENTEX Mukah mempunyai program yang sesuai dengan latihan untuk diberikan kepada pelatih dalam sektor penting seperti sektor minyak dan gas serta penyelenggaraan. 

“Ini kerana tidak jauh dari sini ialah Tanjung Manis iaitu kawasan membuat kapal.

“Keduanya sektor pertanian khasnya dari segi pembangunan sago dan juga minyak sawit serta tanaman pertanian lain seperti nanas,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan penubuhan Lembaga Industri Nipah dan Sago (LINAS) yang akan melihat pembangunan industri nipah dan sagu di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Industri Nipah dan Sago. 

“Ini untuk melihat pembangunan industri sagu dan nipah dari sudut kualiti, pengeluaran dan teknologi. 

“Ianya juga akan memberikan bantuan kepada petani kita yang berkecimpung di dalam industri sagu dan nipah dengan menggunakan cara-cara baru,” ujarnya. 

Pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyaksikan perjanjian di antara CENTEXS dan Syarikat NExT Schlumberger secara maya serta pertukaran perjanjian di antara CENTEXS dengan The Welding Institute (TWI), International Insitute of Plantation Management (IIPM), Institute Society of Plantations (ISP) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michel Manyin Jawong, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti dan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri – Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo dan ADUN Balingian Abdul Yaakub Arbi.-EDISI UKAS