Tebingan Sepan Laut & Reba Tarikan Baharu Di Asajaya

SABTU, 28 OGOS 2021

ASAJAYA: Tebingan Serpan Laut dan Reba di sini berpotensi dijadikan tarikan baharu kepada pengunjung di daerah Asajaya pada masa depan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, ia adalah menerusi projek pembinaan benteng hakisan daripada Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA).

Menurutnya, matlamat asal projek tersebut adalah untuk mengelak hakisan pantai yang boleh menjejaskan tanaman dan penduduk sekitar.

“Namun ia turut membuka peluang untuk mengangkat kawasan ini sebagai tarikan baharu di Daerah Asajaya.

“Kita sedang merancang ke arah itu jika tiada sebarang halangan pada masa depan,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan.

Tambahnya, projek yang menggunakan peruntukan daripada IRSDA itu dijangka siap pada penghujung tahun 2022.

Benteng pesisir pantai sepanjang kira-kira 3.2 kilometer itu dibina di kawasan pesisir pantai Serpan Laut-Reba. -EDISI UKAS