SABTU, 28 OGOS 2021
MIRI: Keperluan pelajar di kawasan pedalaman mempelajari dan menikmati kepesatan teknologi yang ada pada hari ini telah mendorong Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bedian terlibat dalam Think & Tinker Mini Lab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau melahirkan rasa bangga di atas pemilihan sekolah ini untuk sama-sama terlibat dalam mencipta teknologi baru dalam membawa Sarawak gemilang di masa hadapan.
“Kita menjangkau ke kawasan pedalaman dengan membawa teknologi yang sebelum ini hanya dilihat di dalam buku teks sahaja.
“Sekarang ini, kita membawa teknologi yang inovatif ini kepada mereka sesuai dengan keadaan sekarang.
“Kini, TEGAS telah berkembang dan mara ke depan untuk merealisasi impian pemimpin kita membawa negara maju pada masa akan datang,” katanya semasa berucap dalam Simbolik Penyerahan Peralatan Think & Tinker (T&T) Mini Lab Kepada Guru Besar SK Long Bedian di Hotel Pullman Miri pada Jumaat.
TEGAS T&T Mini Lab ini merupakan satu ruangan inovasi serbaguna yang ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh Sarawak bagi membolehkan pelajar mengasah bakat dalam dunia teknologi digital.
Ianya juga merupakan pusat bagi guru, pelajar dan pakar industri untuk saling berkomunikasi serta menghubungkan kepakaran bagi mengalakkan perkongsian sumber, kolabrasi dan berhubung secara efektif.
Dalam merealisasikan hal ini, TEGAS telah menyumbang peralatan yang bernilai RM20,000 dan akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500 pelajar di SK Long Bedian.
Mengulas lanjut mengenai penubuhan TEGAS ini, Dennis yang juga Ahli Lembaga Amanah TEGAS memberitahu penubuhan TEGAS ini dengan tujuannya dan objektif antaranya ialah mencetuskan perubahan pemikiran di kalangan Bumiputera terhadap pendidikan teknikal.
“Saya masih ingat sewaktu mula menjadi wakil rakyat pada tahun 2011 di kalangan kami wakil rakyat ada membincangkan persoalan mengenai pelajar Bumiputera kurang berminat dalam bidang teknikal dan lebih suka kepada jurusan perniagaan untuk pergi ke kolej dan universiti.
“Kita faham pada waktu itu di seluruh dunia perubahan kepada peluang pekerjaan semakin luas contohnya bidang teknikal.
“Justeru, kita mencadangkan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kerajaan Sarawak menubuhkan TEGAS,” ujarnya.
Pada hari ini, TEGAS yang dirasmikan pada 28 Februari 2012 telah berjaya mencapai revolusi dengan membawa perubahan teknologi kepada anak tempatan Sarawak di bandar mahupun di pedalaman.
Hadir sama Pegawai Daerah Baram Baru Tai, Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Baram James Valley Michael Harry, Guru Besar SK Long Bedian dabn Pengurus Kanan TEGAS Fredick Kevin.-EDISI UKAS