Derma Darah Amalan Mulia, Bantu Menyelamatkan Orang Lain

AHAD, 29 OGOS 2021

MIRI: Orang ramai yang mempunyai sihat tubuh badan dan tidak mempunyai sebarang penyakit boleh menderma darah.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, dengan menderma darah seseorang itu boleh menyelamatkan nyawa orang lain.

Katanya, aktiviti menderma darah adalah suatu amalan mulia yang harus diteruskan bagi membantu orang yang memerlukan khususnya yang sedang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik. 

Di daerah Miri, pada 2020 sehingga kini, jumlah penderma yang didaftarkan ialah 6,653 penderma dan mereka yang berjaya menderma darah ialah 5,592 orang.

Manakala, pada tahun 2021 sehingga hari Sabtu, jumlah penderma yang berdaftar ialah 3,342 dan mereka yang berjaya menderma ialah 2,794 orang.

Pada Sabtu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin telah mengadakan lawatan ke Dewan Bangunan Bulan Sabit Merah Miri bagi meninjau Kempen Derma Darah anjuran Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pujut Tanjung Batu Miri dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri.

Mereka yang berdaftar dan menderma darah akan diberikan sekampit beras 5 kilogram. 

Hadir sama Pengerusi KRT Pujut Tanjung Batu Ishak Baijuri, Pengerusi Jiran Wanita KRT Pujut Tanjung Batu Norliza Bujang dan Pembantu Pegawai Jabatan Perpaduan.-EDISI UKAS