Penduduk Kampung Belimbing Besi & Kampung Lunying Patuh SOP PKPD

AHAD, 29 OGOS 2021

SEBUYAU: Penduduk Kampung Belimbing Besi dan Kampung Lunying yang menjalani arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) didapati patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan yang dilakukan pada Sabtu mendapati tiada sebarang pergerakan dikesan di sekitar kampung dengan petugas barisan hadapan mengawal sekatan jalan raya yang dilakukan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, petugas di sekatan jalan raya tersebut menerima sumbangan bakul makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.

Simbolik penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya yang mewakili Datuk Julaihi.

Sementara itu, Asli mewakili Datuk Julaihi merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha memastikan penduduk kampung mematuhi SOP COVID-19 yang telah ditetapkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini memutuskan pelaksanaan PKPD di Kampung Belimbing Besi dan Kampung Lunying bermula 28 Ogos sehingga 10 September depan. -EDISI UKAS