JPVS Laksana Langkah Kawalan Bagi Penyakit ASF Di Sarawak

ISNIN, 30 OGOS 2021

KUCHING: Bahagian Limbang, Kapit dan Miri diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika (ASF) susulan penemuan ASF di Sabah dan Kalimatan Utara.

Pengisytiharan itu dibuat Pengerusi Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan dilaksanakan di bawah Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr Adrian Susin Ambud berkata, pihaknya melaksanakan langkah pengharaman pengimportan babi dan produk babi ke Sarawak dari negara atau negeri yang terjangkit.

“Orang awam dilarang memindah,membawa masuk mahupun berjual beli secara atas talian yang melibatkan babi hidup, daging babi atau hasil produk babi untuk mencegah penyebaran virus,” katanya menerusi kenyataan media, pada Isnin.

JPVS turut mengarahkan para penternak untuk menjaga kebersihan ladang dan persekitaran dengan menggunakan pembasmi kuman dan elakkan sebarang sentuhan di antara babi hutan dan haiwan ternakan lain.

“Babi atau hasil produk babi yang dipindahkan atau ditawarkan untuk dijual dalam pelanggaran perintah ini, boleh disita atau dimusnahkan oleh Pihak Berkuasa Veterinar Negeri.

“Kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000, ” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai diberi jaminan bahawa daging babi yang terdapat di pasaran adalah selamat untuk dimakan kerana sumber daging babi tersebut adalah dari ladang yang bebas dari virus ASF. – EDISI UKAS