Potong Tali Pelitup Hidung Dan Mulut Sebelum Dibuang Dalam Tong Sampah

ISNIN, 30 OGOS 2021

MIRI: Orang ramai diminta memotong tali pelitup hidung dan mulut sebelum membuangnya di dalam tong sampah. 

Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dalam kenyataan media pada Sabtu berkata, ini bagi mengelakkan haiwan terjerat dengan pelitup muka dan mulut serta ancaman virus COVID-19.

“MBM mengadakan kempen potong pelitup hidung dan mulut yang digunakan menjadi 2 keping atau potong tali terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam tong sampah. 

“Kempen ini sangat bermanfaat bagi warga Miri yang peduli terhadap persekitaran dan keselamatan. 

“Membuang pelitup muka dan hidung terpakai di tempat awam, jalan raya, luar kedai makanan dan kawasan perumahan boleh menjadikan menyebabkan penularan virus COVID-19,” katanya. 

Tambah Adam Yii lagi, dalam satu kajian sekurang-kurangnya 100 bilion pelitup hidung dan mulut telah dibuang setiap bulan di seluruh dunia. 

Menurut The Royal Society For The Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA), mereka telah menangani 900 insiden yang memilukan terhadap haiwan yang ditangkap terkena pelitup hidung dan mulut sejak awal pandemik COVID-19. 

Pelitup hidung dan mulut ini menjadi ancaman sebenar kepada hidupan liar termasuk hidupan laut.-EDISI UKAS