ISNIN, 30 OGOS 2021
KUCHING: Selepas kejayaan cemerlang Bonnie Bunyau Gustin, giliran seorang lagi atlet powerlifting para dari Sarawak, Jong Yee Khie mengharumkan negara dalam temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Yee Khie, 32 tahun, menyumbang pingat kedua Malaysia selepas merangkul perak dalam acara lelaki 107 kilogram pada Isnin.
Atlet kelahiran Kuching itu melakukan angkatan seberat 237 kg pada percubaan kedua untuk meraih perak manakala emas dimenangi Sodnompiljee Enkhbayar dari Mongolia dengan angkatan 245 kg dan gangsa milik Razi Saman dari Iran dengan angkatan 231 kg.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan Yee Khie satu lagi pencapaian membanggakan dilakar atlet Sarawak yang beraksi di temasya terulung itu.
“Satu lagi kejayaan daripada atlet Sarawak dalam Sukan Paralimpik Tokyo. Seluruh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khasnya berbangga dengan pencapaian kamu termasuk juga Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas pertama negara.
“Ini adalah hadiah yang bermakna sempena Hari Kebangsaan,” kata Datuk Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menerusi pesanan WhatsApp pada Isnin.
Jelasnya, kejayaan kedua-dua atlet Sarawak itu boleh dijadikan inspirasi buat semua atlet untuk menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan di akaun rasmi Facebook beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yee Khie kerana memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di bumi Tokyo. – EDISI UKAS