31 Penduduk Penan Long Liaw Berjaya Lengkapkan Dua Dos Vaksin COVID-19

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

ULU TINJAR: Proses vaksinasi COVID-19 di kawasan pedalaman diteruskan bagi suntikan kedua di Long Liaw, Ulu Tinjar pada Selasa.

Seramai 31 orang penduduk Penan yang berumur 18 tahun dan ke atas melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19. 

Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah menggunakan pengangkutan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk ke Long Liaw, Ulu Tinjar yang jauh di pedalaman Tinjar, Baram.

Ketika ditemui, Ketua Kaum Bitang Sakai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap kesihatan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau turut menyeru masyarakat Penan lain yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 segera tampil bagi melindungi diri daripada penularan wabak pandemik COVID-19. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Beluru Geling Ason yang menyertai rombongan pemberian vaksin COVID-19 telah mengambil kesempatan melakukan bancian terhadap penduduk di Long Liaw, Ulu Tinjar sebagai usaha untuk membantu Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak bagi kerja-kerja bancian penduduk di penempatan tersebut.-EDISI UKAS

Share
0

add comment