ADUN Bukit Saban Sumbang Bantuan Makanan Kepada Penduduk Rumah Panjang Linsum, Layar

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

BETONG: Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberikan sumbangan bantuan makanan kepada penduduk Rumah Lanyau Jembu, Linsum, Layar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Rabu.

Penyerahan bantuan disampaikan oleh Pusat Khidmat DUN Bukit Saban menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong untuk diagihkan kepada 22 buah keluarga dari rumah panjang tersebut.

Bantuan makanan kali ini adalah tambahan kepada yang telah disalurkan oleh pihak JPBB Betong melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong.

Dalam pada itu, Tuai Rumah Lanyau mewakili penduduk rumah panjang merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas atas keprihatinan beliau memberikan sumbangan yang terkesan akibat pelaksanaan PKPD.

Penduduk rumah panjang tersebut dikenakan penguatkuasaan PKPD selama 14 hari sejak 26 Ogos lepas hingga 8 September ini bagi melaksanakan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD). –EDISI UKAS

Share
0

add comment