GPS Menaruh Harapan Kerajaan Persekutuan Baharu Hormati Hak Dan Keistimewaan Sarawak

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak di Bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) menaruh harapan kepada kepimpinan kerajaan Persekutuan yang baharu agar terus menghormati hak dan keistimewaan negeri ini serta prihatin terhadap keinginan rakyat Sarawak.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini supaya mana-mana hak yang sudah terhakis sebelum ini dapat dikembalikan kepada Sarawak.

 “Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dalam tempoh 17 bulan lalu kerana telah menunjukkan keprihatinan kepada impian rakyat Sarawak yang ingin menikmati hasil mahsul yang keluar dari perut bumi mereka sendiri walaupun mereka akur bahawa sebahagian perlu disumbang kepada pembangunan negara keseluruhannya.” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu kerajaan Sarawak telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membina infrastruktur fizikal, internet dan bekalan elektrik serta air sebagai prasyarat untuk pembangunan ekonomi maju.

“Saya menjangkakan bahawa pada tahun 2025, Sarawak akan dapat menyelesaikan pembinaan projek infrastruktur utama yang akan menyediakan hubungan yang lebih baik dan meningkatkan faktor-faktor yang memungkinkan pertumbuhan industri, termasuk industri agro.”tambah beliau.

Hadir sama, Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, menteri kabinet Sarawak dan tetamu jemputan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment