RABU, 1 SEPTEMBER 2021
SARIKEI: Rakyat di negeri ini diseru agar sentiasa menghargai dan memperingati jasa pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata masyarakat juga harus mendalami maksud tema ‘Malaysia Prihatin’ selain mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.
Beliau malah mengajak masyarakat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti cinta dan kesetiaan kepada negara menjelang Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Berucap dalam Program Sepakat@Komuniti Jabatan Penerangan Malaysia pada Selasa, Dato’ Sri Huang berkata Sarikei semakin maju di bawah kerajaan Gabungan Parti Saawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Jelasnya, pelbagai projek yang berimpak tinggi seperti Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Agro Park, CPPC telah diluluskan oleh Ketua Menteri yang pasti akan melonjak Sarikei ke arah kemajuan sekaligus memakmur dan mensejahterakan rakyat di kawasan itu.
Dedah beliau lagi, sebanyak 42 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah diluluskan di kawasan Repok yang meliputi pelbagai sekolah, gereja dan tokong pada tahun ini.
Dalam program itu, Dato’ Sri Huang telah menyumbang sebanyak RM2000 kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan RM3000 kepada Jabatan Penerangan Bahagian Sarikei.
Beliau kemudiannya melawat projek RTP 2021 iaitu stadium bola keranjang bernilai RM150,000 di Lot 1857, block 49, Sarikei Land District. – EDISI UKAS