Kebajikan Rakyat Akan Terus Diutamakan Dalam Suasana Pandemik COVID-19

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Setiap rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 akan terus diberikan perhatian dan tindakan segera bagi memastikan kebajikan mereka dipelihara. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni, sebagai wakil rakyat adalah menjadi keutamaan untuk membantu rakyat yang dikenakan kuarantin di rumah disebabkan mempunyai kes positif COVID-19 atau mempunyai kontak rapat dan mereka yang kehilangan punca pendapatan. 

“Kebajikan rakyat akan terus diutamakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut walaupun ketika ini kita sedang melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja.

“Pelbagai strategi telah diatur untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat bantuan yang sewajarnya dalam tempoh ini.

“Ini sebagai langkah bersungguh-sungguh yang diambil demi untuk memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan terutama kepada mereka yang terjejas,” katanya semasa diminta mengulas mengenai pemberian bantuan makanan kepada penduduk di 28 buah kampung dalam DUN Demak Laut baru-baru ini. 

Setiap keluarga yang dikenakan kuarantin dan mempunyai surat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberikan bantuan makanan. 

Ujar Dr Hazland lagi, rakyat Sarawak amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang sangat prihatin terhadap rakyatnya apabila telah membelanjakan RM5.3 bilion di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS). 

“Sejak mula diperkenalkan pada Mei 2020, BKSS kini telah memasuki Pakej BKSS 7.0 seperti yang diumumkan Ketua Menteri pada Ogos 2021 dengan meliputi pelbagai bantuan kepada seluruh lapisan masyarakat di Sarawak. 

“Malah, Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan memperkasa ekonomi negeri dua kali ganda dalam merealisasikan aspirasi menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi 2030.

“Di samping itu, beberapa inisiatif kerajaan yang dibuat sebelum pandemik COVID-19 juga turut diteruskan untuk memastikan rakyat terus menerima bantuan dan menikmati pembangunan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk di kawasan DUN Demak Laut yang terjejas dan memerlukan bantuan boleh terus menghantar pesanan ringkas di nombor 017-8585007.

Pusat Khidmat DUN Demak Laut akan menyelaras setiap permohonan dan bantuan daripada masyarakat di DUN Demak Laut.-EDISI UKAS

Share
0

add comment