Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat IEM Cawangan Sarawak

RABU, 01 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Institute Of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak, Dato’ Ir. Janang Bungsu serta rombongan di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.

IEM Cawangan Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1968 kini telah mempunyai seramai lebih kurang 4,600 ahli yang mewakili pelbagai bidang kejuruteraan seperti kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan elektronik.

Dato’ Ir Janang yang baru sahaja dilantik sebagai pengerusi IEM bagi sesi 2021 memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memberikan sebanyak enam hektar tanah bagi tujuan pembangunan International Engineering Centre yang terletak di Kota Samarahan.

Jelas beliau, IEM bersetuju untuk membeli satu lot kedai bagi penempatan sementara bangunan INTEC bagi mengadakan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan kelak.

“INTEC ini bertujuan untuk mengadakan seminar, mengadakan kursus-kursus pendek , untuk menambah baik kemahiran jurutera di Sarawak serta untuk membangunkan jurutera-jurutera muda.

“Sebab sekarang, seperti yang diketahui teknologi pada masa kini kian membangun, perisian computer yang baharu, jadi saya rasa kejuruteraan di Sarawak harus seiring dengan perkembangan era digital”, jelas beliau ketika ditemubual wartawan UKAS di Wisma Bapa Malaysia, pada Rabu.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana telah menyokong usaha IEM dalam membangunkan pusat kemahiran seperti INTEC bagi melahirkan jurutera-jurutera tempatan yang berkemahiran serta terlatih. -EDISI UKAS

Share
0

add comment