Persatuan Cina Sarawak Sumbang RM474,102.05 Kepada Tabung Bencana Negeri Sarawak

RABU, 01 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima sumbangan daripada Persatuan Cina Sarawak untuk Tabung Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.

Sumbangan daripada Persatuan Cina Sarawak yang berjumlah RM474,102.05 itu diserahkan oleh Presidennya, Dato’ Richard Wee Liang Chiat.

Ia bertujuan membantu kerajaan negeri khususnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi melancarkan program yang dilaksanakan dalam menangani pandemik COVID-19.

Dato’ Richard turut memberitahu, sebanyak 15,000 orang telah tampil bagi menyalurkan sumbangan kepada persatuan tersebut untuk disampaikan kepada JPBNS.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kuek Eng Mong menambah, beliau gembira dengan respons positif yang diterima dari semua pihak dalam menyalurkan sumbangan tersebut.

“Pada mula nya, kami hanya menyasarkan sebanyak RM5,000 namun ianya telah melebihi jangkaan kami dan kami telah mengumpul sebanyak RM474,102.05 dalam masa yang singkat.

“Sumbangan ini juga bertujuan bagi menunjukkan bahawa kami juga bersama kerajaan membantu rakyat Sarawak khususnya dalam berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Hadir sama menyaksikan majlis ringkas berkenaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato’ Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian.- EDISI UKAS

Share
0

add comment