Program Imunisasi COVID-19 Di Sarawak Berjaya Suntik Lebih 91 Peratus Individu

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu setakat Isnin, Program Imunisasi Covid-19 di Sarawak telah berjaya memberikan vaksin kepada lebih 91 peratus individu.

Seramai 1,879,360 individu atau lebih 91 peratus telah berjaya menerima vaksin Covid-19 dos pertama daripada 2,066,000 individu yang layak berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, 1,821,499 atau 88.2 peratus individu yang layak berumur 18 tahun ke atas turut telah melengkapkan vaksin Covid-19 dos kedua.

 “Bagi Sarawak yang berada dalam tempoh darurat kesihatan pada ketika ini usaha ditumpukan untuk memerangi Covid-19.

“Alhamdullilah setakat semalam program pemberian vaksin kita sudah mencapai 91.0 peratus bersamaan 1,879,360 individu bagi dos pertama daripada 2,066,000 yang layak berumur 18 tahun ke atas.

“Sementara itu, bagi dos kedua seramai 1,821,499 individu atau 88.2 peratus daripada individu 18 tahun ke atas yang layak.” katanya semasa berucap Dalam Majlis Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya pada Selasa.-EDISI UKAS