Sebanyak 13 Keluarga Di Kampung Pichin Patuh Arahan Kuarantin

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

SERIAN: Sebanyak 13 keluarga di Kampung Pichin telah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 2 lepas, tinjauan mendapati penduduk kampung tersebut amat mematuhi arahan pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Mereka hanya berada di rumah dan keluar rumah jika perlu sahaja.

Difahamkan, pada mulanya hanya dua keluarga sahaja yang disahkan positif COVID-19 dan tanpa berlengah ketua kaum terus mengarahkan ahli JKKK untuk terus bertindak dengan memasang riben pada tiang rumah mangsa untuk  menandakan bahawa keluarga tersebut sedang menjalani kuarantin.

Menurut Ketua Kaum kampung Pichin, Rioi Lagit, kesemua keluarga yang menjalani kuarantin tersebut telah menerima sumbangan bantuan makanan daripada Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, pemantauan akan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memastikan semua perkembangan kes baharu dilaporkan dan direkodkan untuk dihantar ke Pejabat Daerah Serian. -EDISI UKAS

Share
0

add comment