Tema ‘Malaysia Prihatin’ Dan ‘Malaysia Menang Bersama’ Sesuai Dalam Situasi Pandemik COVID-19

RABU, 1 SEPTEMBER 2021

KUCHING : Tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ dan ‘Malaysia Menang Bersama’ amat sesuai sekali dalam situasi pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ianya amat sesuai sekali bagi menggambar dan mencerminkan apa yang telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak ketika ini dalam usaha membantu rakyat mengekang penularan wabak COVID- 19.   

“Kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat daripada jangkitan virus COVID-19 dapat dilihat dengan pembukaan sebanyak 343 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh bahagian dan daerah di Sarawak.

“Terima kasih kita ucapkan di atas kerjasama yang erat di antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan yang memudahkan perkara ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Karim turut memberitahu Kerajaan Sarawak telah melaksanakan 7 pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) termasuk terbaru BKSS 7.0 bernilai RM 800 juta yang diumumkan pada 4 ogos lepas.

Bantuan ini adalah untuk memperkasakan aktiviti perusahaan dan perniagaan dalam keadaan yang sihat dan untuk meringankan beban rakyat termasuk entiti perniagaan semasa krisis pandemik COVID 19. -EDISI UKAS

Share
0

add comment