42 NGO Daerah Marudi Terima Geran MRP

KHAMIS, 2 SEPTEMBER 2021

MARUDI: Setiap penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ini perlu menggunakan peruntukan ini dengan sebaiknya. 

Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau berkata, ini penting bagi memastikan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya ahli-ahli dalam unit Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Marudi. 

“Jumlah peruntukan yang disalurkan kepada setiap unit adalah tidak sama disebabkan setiap rumah panjang mempunyai jumlah ahli yang berbeza. 

“Bantuan ini akan dapat digunakan untuk menampung keperluan yang penting bagi kegunaan setiap unit SIDS,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran MRP di Pejabat Daerah Marudi pada Rabu. 

Sebanyak 42 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima geran MRP berjumlah RM179,000. 

Mengenai situasi semasa pandemik COVID-19, Anyi menasihatkan penduduk di Daerah Marudi akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi penguatkuasa yang lain. 

“Kurangkan aktiviti di luar rumah dan jika perlu keluar rumah pastikan patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19,” tambahnya. 

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis.-EDISI UKAS

Share
0

add comment