Pemberian Dos Kedua Vaksin COVID-19 AstraZeneca Di BMC Miri

KHAMIS, 2 SEPTEMBER 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengumumkan pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca bagi penerima yang belum menerima suntikan tersebut akan diberikan di Borneo Medical Centre (BMC) Miri bermula pada 1 September 2021 secara janji temu. 

Menteri Bertanggungjawab JPBB Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Khamis berkata, sebanyak dua kaedah boleh digunakan dalam pemberian vaksin AstraZeneca. 

“Mereka yang telah menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) Institut Kemahiran Belia (IKBN) Miri boleh terus menghubungi BMC Miri di talian 012-5849335. 

“Janji temu untuk dos kedua akan dimaklumkan kepada penerima oleh BMC Miri.

“Selain itu, mereka yang telah menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca selain di PPVAZ IKBN Miri di mana permohonan dibuat menerusi emel kepada jknswkcovid19@gmail.com dengan menyertakan nama, no kad pengenalan, no telefon bimbit, tarikh dan lokasi penerimaan dos pertama vaksin AstraZeneca. 

“Nama penerima yang telah diluluskan akan dihantar ke BMC Miri dan janji temu suntikan vaksin COVID-19 dos kedua akan dimaklumkan kepada penerima oleh BMC Miri,” katanya. 

Beliau menambah, penawaran suntikan vaksin COVID-19 ini hanya untuk dos kedua jenis AstraZeneca sahaja dan bukan untuk individu yang baru hendak mendapatkan vaksin. 

Ujar Datuk Lee lagi, keputusan pemberian vaksin dos kedua AstraZeneca ini dibuat selepas operasi PPVAZ IKBN Miri tamat. 

“Perkara ini telah pun saya maklumkan ketika mesyuarat secara zoom bersama-sama JPBN Sarawak pada Isnin lepas bagi membolehkan penerima mendapatkan Dos ke-2 suntikan vaksin AstraZeneca selepas pengoperasian PPVAZ IKBN Miri tamat. 

Terdahulu, pemberian suntikan vaksin AstraZeneca di PPVAZ IKBN Miri telah berakhir pada 27 Ogos 2021 yang lepas. 

Pemberian Dos 2 vaksin AstraZeneca di BMC Miri melalui dua kaedah seperti di atas adalah bertujuan bagi membantu penerima-penerima (vaksin AstraZeneca) yang tidak sempat mengambil suntikan vaksin dos ke-2 disebabkan beberapa faktor seperti penerima dalam perintah kuarantin, pengembara anak-anak Sarawak yang baru pulang daripada pengajian di luar Miri dan sebagainya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment