Penubuhan CENTEXS Jadikan Mukah Hab Pendidikan Di Sarawak

KHAMIS, 2 SEPTEMBER 2021

MUKAH: Penubuhan Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) di Mukah menjadikan bahagian itu kini sebagai salah sebuah hab pendidikan di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo berkata, CENTEXS Mukah yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu lepas mampu menampung 800 pelajar pada satu masa selain menyediakan kursus-kursus teknikal dalam Minyak dan Gas dan Akademi Kelapa Sawit dan Perladangan.

Justeru semasa ditemui krew UKAS pada perasmian tersebut, beliau menyeru golongan belia di Mukah untuk merebut peluang mendapatkan kursus-kursus yang ditawarkan di situ.

“Saya berharap agar penduduk khususnya belia mengambil peluang dengan penubuhan CENTEXS di Mukah.

“Bagi pihak penduduk, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana memberi kemudahan pendidikan kepada penduduk di Sarawak dan Mukah khususnya,” katanya.

Sementara itu, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata penubuhan CENTEXS Mukah akan memudahkan belia di Mukah untuk mendapatkan kursus kemahiran.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah menubuhkan CENTEXS di Mukah.

Bagi EXCO Pemuda PBB Sarawak, Royston Valentine, penubuhan CENTEXS di situ bukan sahaja akan memberi manfaat kepada belia malah amat bertepatan dengan keperluan yang ada di Mukah.

“Ini adalah satu keberuntungan untuk penduduk Mukah sebab kita dapat lihat CENTEXS menawarkan kursus-kursus latihan teknikal berkaitan minyak dan gas serta kelapa sawit dan perladangan.

“Justeru, golongan belia di Mukah harus mengambil peluang dengan mempelajari bidang teknikal dan kemahiran ini,” katanya.

CENTEXS Kampus Mukah memiliki keluasan seluas 13 ekar dan mampu menempatkan seramai 890 orang pelatih dibina dengan kos bernilai RM50 juta. – EDISI UKAS

Share
0

add comment