RTM Miri Stesen Penyiaran Unik, Papar Siaran Bagi Suku Kaum Kayan Dan Kenyah

KHAMIS, 2 OGOS 2021

MIRI: Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri merupakan sebuah stesen penyiaran yang unik di Sarawak apabila turut menampilkan siaran untuk berita bagi suku kaum Kayan dan Kenyah. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, keunikan ini membolehkan masyarakat suku kaum tersebut turut mendapat maklumat dan berita mutakhir khasnya mengenai polisi dan dasar kerajaan kepada rakyat. 

“RTM Miri memainkan peranan yang sangat penting, khasnya di  Bahagian Miri. 

“RTM Miri juga ada menggunakan bahasa Kayan dan Kenyah untuk menyampai mesej kepada rakyat. 

“Stesen ini sahaja yang menggunakan bahasa Kayan dan Kenyah untuk siaran berita dan penyaluran maklumat kepada masyarakat Kayan dan Kenyah di Bahagian Miri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-46 RTM Miri di Auditorium RTM Miri pada Khamis. 

Tambahnya lagi, RTM juga memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat, khasnya berkenaan dengan dasar dan pembangunan kerajaan.

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menggesa Kementerian, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mempertingkatkan kemudahan alat siaran bagi sejajar dengan Miri sebagai sebuah bandaraya pelancongan. 

“Saya berharaplah kerajaan persekutuan kita melalui Kementerian, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) boleh memberi keutamaan supaya stesen RTM Miri ini boleh dipertingkatkan dengan kemudahan yang mencukupi seperti alat-alat siaran yang moden.

“Ini supaya RTM Miri boleh memainkan peranan lebih berkesan kepada negara kita khasnya kepada rakyat kita di Miri,” gesanya. 

Beliau turut menggesa RTM Miri bekerjasama dengan TV Sarawak dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada rakyat. 

Sementara itu, Pengurus RTM Miri Lydia Paya Rinyud yang mewakili Pengarah RTM Sarawak menegaskan bahawa peranan RTM sebagai media rasmi kerajaan tetap menjadi keutamaan. 

“RTM memang tugasnya sebagai media rasmi kerajaan sentiasa mendukung dan menyokong khasnya program-program kerajaan dan inisiatif-inisiatif kerajaan.

“Adalah menjadi peranan RTM Miri sebagai penyampai berita untuk menyebarluaskan maklumat-maklumat daripada kerajaan dan pemimpin,” katanya. 

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanakan merangkap ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga ADUN Marudi Datu Dr Penguang Manggil, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan Setiausa Politik Kepada Ketua Menteri Sarkawi Suhaili.-EDISI UKAS

Share
0

add comment