Sarawak Sports Challenge Virtual Run 2021 Ajak Masyarakat Amal Gaya Hidup Sihat

KHAMIS, 2 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sempena Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam 2021, Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) akan menganjurkan Sarawak Sports Challenge Virtual Run yang akan diadakan dari 6 September sehingga 5 Oktober 2021.

Majlis pelancaran larian itu telah disempurnakan oleh Menteri Belia Dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menerusi rakaman video di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching pada Khamis.

Bulan Inovasi adalah sambutan yang berkonsepkan penglibatan dan diperluaskan lagi dengan mendekati lebih ramai pelanggan seluruh Sarawak dengan penyertaan lebih banyak agensi negeri dan persekutuan.

Ini merupakan tahun pertama PSS menyertai Bulan Inovasi di mana ia telah dilantik sebagai agensi baharu dengan kerjasama City Jogger’s.

“Program Sarawak Sport Challenge Virtual Run tahun 2021 diadakan bertujuan menanam dan mengamalkan tabiat bersenam walaupun berada di rumah dan ianya boleh mengeratkan hubungan antara keluarga sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Dengan adanya aktiviti sebegini dapatlah kita mengekalkan tahap kecergasan menyeluruh dari segi kecergasan fizikal, kecergasan mental, kecergasan emosi dan juga kecergasan sosial,” ujar Datuk Abdul Karim dalam majlis pelancaran tersebut.

Sarawak Sports Challenge Virtual Run terbuka kepada tiga kategori jarak yang harus ditamatkan iaitu 200KM bagi pingat emas, 100KM bagi pingat perak dan 10KM bagi pingat gangsa. – EDISI UKAS