Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Lawat Tapak Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak

KHAMIS, 2 SEPTEMBER 2021

BINTULU: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion telah mengadakan lawatan ke Tapak Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak pada Rabu. 

Jambatan Bintulu-Jepak ini mula dibina pada 3 April 2019 dengan kos RM466,679,497 dan dijangka siap pada April 2023. 

Bagaimanapun projek jambatan ini mengalami kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan berikutan pandemik COVID-19. 

Datuk Amar Jaul berharap kontraktor yang dilantik dapat memastikan projek Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak mengikut masa yang ditetapkan dan memastikan kualiti pembinaan turut diutamakan. 

Panjang keseluruhan jalan raya ialah 3.5 kilometer mengikut standard U5 (rekabentuk piawai jalan bandar) termasuk panjang jambatan sepanjang 1.2 km.

Siapnya Jambatan Bintulu-Jepak akan membolehkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke Bandar Bintulu dapat dipendekkan dan sekaligus membawa pembangunan di kawasan Jepak.

Malah, jambatan ini juga menjadi penghubung kepada kawasan perindustrian seperti Metadeng Industrial Park dan Mukah Smart City serta pemangkin pelaburan kepada 150,000 penduduk tempatan di kawasan Tanjung Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju. 

Hadir sama Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (UPPN) Azmi Bujang, Penolong Pengarah UPPN Suteresno Piang dan Chua Siong Wei, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Pegawa Daerah Tatau Calvin Ligong dan Jurutera Bahagian Bintulu (JKR) Lau Pit Hwa.-EDISI UKAS

Share
0

add comment