JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021
KUALA RAJANG: Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh telah melakukan tinjauan ke Tapak Projek Masjid Baru Kampung Jerijih pada Jumaat.
Projek yang dibina di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Kuala Rajang itu menelan kos sebanyak RM4 juta.
Masjid yang bakal menjadi mercu tanda pembangunan ummah khasnya umat Islam di Kampung Jerijeh itu mampu menampung seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa.
Lawatan kerja beliau diteruskan dengan meninjau projek naiktaraf kemudahan di Pantai Belawai yang kini telah siap 92 peratus.
Siapnya projek tersebut bakal meningkatkan sosio ekonomi penduduk Belawai, Rajang dan Jerijih dengan kehadiran pelancong luar dan domestik ke pantai tersebut.
Selain itu permohonan penambahan peruntukan akan dikemukakan kepada Kementerian Perlancongan diperingkat kerajaan pusat untuk meneruskan pembangunan dan kemudahan lain di sekitar Pantai Belawai.
Sementara itu, Datu Len berkata, padang bola sepak Kampung Belawai juga akan dinaiktaraf selain perancangan jangka panjang lain turut diutamakan.
Pada program berasingan, Datu Len menyaksikan penyerahan Projek Bina Baru Pasar Tani Kampung Rajang yang bernilai RM1 juta dan dijadualkan siap dalam masa setahun.
Projek ini akan memberi manfaat kepada golongan usahawan kecil di Kampung Rajang.
Datu Len berharap agar projek tersebut berjalan lancar meskipun dengan keadaan pendemik COVID-19 yang masih berlaku. -EDISI UKAS