Beberapa Kawasan Di Baram Dan Subis Dinaiki Air

JUMAAT 3 SEPTEMBER 2021

MIRI: Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan di Baram dan Subis dinaiki air.

Menerusi tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Khamis, paras air semakin menaik di kawasan pedalaman Baram.

Penduduk telah diarah untuk bersiap siaga dan diminta untuk mula memindahkan barangan serta ternakan ke tempat yang tinggi dan selamat.

Sementara itu, beberapa kawasan berhampiran sungai Tinjar juga berlaku kenaikan air disebabkan hujan berterusan sehingga menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.

Antara rumah panjang yang dinaiki air dan terputus hubungan disebabkan jalan kampung ditenggelami air ialah Rumah Dennis Madang Long Loyang, Rumah Francis Ubi Long Jegan A, Rumah John Mato Long Tuyut dan Rumah Duri Endu Nanga Lait di tebingan Sungai Tinjar.

Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Bok dan SK Long Teru, Tinjar juga turut dinaiki air.

Dalam perkembangan lain, kawasan Rumah Panjang Bulin Nyalu Sungai Saeh ketika ini mengalami kenaikan paras air dan laluan jalan masuk hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan tidak sesuai untuk kenderaan kecil.

Manakala keadaan banjir di Rumah Edward Ekau, Sungai Serungut pula telah menyebabkan jalan ke rumah panjang tersebut tidak dapat dilalui kenderaan namun paras air mulai surut.

Seterusnya, banjir di kawasan halaman Rumah Lingu Akut, Sibuti berdekatan dengan SK Rumah Tinggi juga telah menyebabkan laluan masuk ke kampung tidak dapat dilalui kenderaan dan didapati paras air tidak berubah.-EDISI UKAS

Share
0

add comment