Jabatan Penerangan Daerah Lundu Sumbang 25 Bakul Makanan Kepada Bank Makanan Daerah Lundu

JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021

LUNDU: Jabatan Penerangan Daerah Lundu menyumbangkan sebanyak 25 bakul makanan kepada Bank Makanan Daerah Lundu sempena Program Sepakat@Komuniti, Malaysia Prihatin 2021.

Penyerahan sumbangan tersebut pada Khamis telah dilakukan oleh Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Juliana Abdullah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Pehin Sri Haji Adenan Haji Satem, Jamsari Ahamad dan disaksikan oleh Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani.

Sebagai rekod, idea untuk mewujudkan Bank Makanan di Daerah Lundu telah dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dengan pengurusannya diletakkan di bawah pengurusan Masjid Pehin Sri Haji Adenan Haji Satem.

Tujuan utamanya adalah untuk membantu orang ramai yang mempunyai masalah dalam mendapatkan bekalan makanan seharian tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Sehinga kini, pihak Masjid Daerah Lundu menerima sumbangan dari pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, mahupun parti politik.

Bendera Jalur Gemilang juga turut diagihkan kepada hadirin yang hadir pada hari ini sempena dengan bulan Kebangsaan.-EDISI UKAS