JPS Miri Serah 3 Projek Saliran Kepada Kontraktor

JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021

MIRI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri telah menyerahkan tiga projek saliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin kepada kontraktor terpilih dengan kos keseluruhan berjumlah RM799,255. 

Hadir menyaksikan penyerahan ketiga-tiga projek itu ialah Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin pada Khamis. 

Projek pertama ialah Pembinaan R. C. Box Culvert sepanjang 24 meter, lebar 1.8 meter dan kedalaman 3.6 meter dan penyelenggaraan kolam penahanan dengan kos RM499,255. 

Projek ini telah dianugerahkan kepada Sara Asra Enterprise yang telah memulakan projek pada 16 Ogos lepas dan dijangka siap pada 15 Disember ini. 

Apabila siap kelak ia akan membantu menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di rumah-rumah di kawasan rendah Taman Cahaya Lopeng.

Projek kedua pula ialah Pembinaan Longkang Konkrit R. C di tepi jalan di Kampung Masjid Kuala Baram.

Projek yang menelan belanja RM200,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu melibatkan pembinaan longkang konkrit RC dengan lebar 1.2 meter, kedalaman 1 meter dan panjang 118.5 meter dibina C&R Enterprise. 

Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh 6 bulan, dengan mula dilaksanakan pada 10 September ini yang akan dapat memperbaiki sistem perparitan yang rendah.

Seterusnya, ketiga, projek yang sama Pembinaan Longkang Konkrit R. C di sebelah Balai Raya Kampung Masjid Kuala Baram dengan kos RM100,000 kepada kontraktor Meruked Resources.

Projek yang melibatkan pembinaan longkang konkrit RC dengan lebar 1.8 meter, kedalaman 1.2 meter dan panjang 20 meter, termasuk 2 gorong 5 konkrit silang RC dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan bermula 16 Ogos lepas dan dijangka siap pada 15 November 2021. 

Selain itu, projek ini juga menyediakan tempat letak kereta tambahan untuk balai raya selain memperbaiki sistem perparitan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment