Kompleks Sukan Daro Bakal Berubah Wajah, Tingkat Kemudahan Sukan Di Daro

JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021

DARO: Projek menaiktaraf Kompleks Sukan Daro bakal mengubah landskap kemudahan sukan di daerah Daro.

Projek bernilai RM3 juta itu yang dijangka siap sepenuhnya November ini akan menyediakan kemudahan sukan yang lebih lengkap khususnya untuk manfaat pihak sekolah.

Pada Khamis, ADUN Daro Safiee Ahmad turun padang bagi meninjau perkembangan projek dan menyelaras cadangan kerja-kerja tambahan.

Beliau berharap siapnya projek itu nanti akan memberi manfaat kepada warga Daro.

Sementara itu pada program berasingan, Safiee telah menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM149,000 kepada 28 penerima.

Penerima terdiri daripada 24 buah tabika, sebuah jawatankuasa masjid dan masing-masing dua buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kelab.

Dalam ucapannya, Safiee berkata, bidang pendidikan adalah menjadi keutamaan kepada beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Tambahnya, setiap tahun beliau menyalurkan sumbangan khususnya kepada pihak KEMAS untuk membantu mereka menjalankan aktiviti.

Beliau juga menggesa ibu bapa dan guru sentiasa bekerjasama memastikan kanak-kanak menguasai pembelajaran dengan baik pada peringkat awal persekolahan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment