JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021
KUCHING: Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilaksanakan secara berperingkat wajar dipertimbangkan bagi mengelakkan kesesakan pada hari mengundi.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, PRN Sarawak wajar diadakan dalam tempoh sehingga dua hari.
Menurutnya, beliau sependapat dengan mantan Pengerusi Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berhubung perkara tersebut.
“Jika tidak mungkin dilaksanakan, jadi tindakan menyediakan lebih banyak pusat mengundi perlu dipertimbangkan.
Tindakan ini penting supaya kita dapat mengelakkan kesesakan semasa hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Sebelum itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh tersebut mengulas mengenai cadangan Datuk Seri Azman Ujang bahawa Sarawak boleh melaksanakan PRN secara berperingkat.
Tambah beliau, ia bukan perkara baharu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakannya pada pilihan raya dahulu.
“Namun, persoalannya adakah SPR masih tetap ingin meneruskan sistem ini semula. Perlu diingatkan ketika ini negara masih berdepan dengan pandemic COVID-19,” katanya. -EDISI UKAS