JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021
ASAJAYA: Penduduk kampung di kawasan Parlimen Kota Samarahan yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta untuk terus bersabar dan kekal memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, kerjasama sepanjang PKPD dilaksanakan amat penting bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Katanya, terbaru terdapat dua kampung yang dikenakan PKPD melibatkan dua buah kampung di daerah Asajaya sehingga 17 September depan.
“Kedua-dua kampung yang terlibat adalah Kampung Serpan Laut dan Kampung Sampun Gerunggang,” katanya.
Ini berikutan Kampung Serpan Laut merekodkan 83 kes positif, manakala Kampung Sampun Gerunggang mencatatkan 41 kes positif dalam tempoh sejak 14 hari lepas. -EDISI UKAS