Projek Naiktaraf Jalan Sungai Tulai, Bintangor Dijangka Siap Awal Oktober 2021

JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021

BINTANGOR: Projek menaiktaraf jalan utama lima buah rumah panjang di Sungai Tulai, Bintangor dijangka siap awal Oktober 2021.

Projek bernilai RM338,271 itu merupakan laluan utama penduduk Rumah Suring Sana, Rumah Labang Jawa, Rumah Bajik Geruna, Rumah Bandar Watt dan Rumah Sap Ngabong serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tulai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah melakukan tinjauan ke tapak projek pada Jumaat.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata, sokongan rakyat adalah perlu untuk kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan usaha pembangunan di luar bandar khususnya di daerah Meradong.

Sementara itu, Tuai Rumah Suring Sana ketika ditemui menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ding yang telah memastikan projek menaiktaraf jalan kampung mereka dilaksanakan.

“Terima kasih kepada Datuk Ding di atas usaha meluluskan projek ini.

“Kami berharap beliau akan terus kekal sebagai wakil rakyat demi pembangunan berterusan di kawasan luar bandar,” katanya.

Turut senada, Tuai Rumah Labang Jawa merakamkan penghargaan atas usaha Datuk Ding itu dan berharap pembangunan luar bandar diteruskan dengan sokongan padu penduduk khususnya di Sungai Tulai kepada wakil rakyat mereka.

“Kita akan memastikan sokongan kepada Datuk Ding diteruskan demi kepentingan terutamanya dari segi pembangunan infrastruktur luar bandar,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment