SEB Sumbang RM1.1 juta Kepada Tabung Bencana Negeri Sarawak

JUMAAT 3 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima replika cek berjumlah RM1,100,000 sumbangan Sarawak Energy Berhad (SEB) di pejabatnya, di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.

Sumbangan telah diserahkan Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat SEB, Siti Aisah Adenan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datu Sharbini Suhaili ketika ditemui memberitahu, sumbangan tersebut merupakan sumbangan daripada kakitangan dan syarikat SEB untuk membantu Kerajaan Sarawak dan rakyat mendepani pandemik COVID-19 ini.

“Kita telah mengumpul dana daripada kakitangan SEB sebanyak RM43,238.53 sejak tiga bulan lalu dan SEB menambah sejumlah RM100,000.

“Kita juga menyumbang sejumlah RM1 juta yang mana ia merupakan belanjawan untuk sambutan Ulang Tahun SEB ke-100 tahun.

“Melihat kepada situasi pandemik pada ketika ini, kami mengambil keputusan untuk menyumbang duit tersebut kepada Tabung Bencana Negeri Sarawak dan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kami ialah RM1.1 juta,”  katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas penyerahan tersebut.

Turut hadir Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Naib Presiden Kanan Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Marconi Madai.-EDISI UKAS

Share
0

add comment