ADUN Sebuyau Serah Bantuan Makanan Kepada Keluarga Jalani Kuarantin Di Rumah

SABTU, 4 SEPTEMBER 2021

SEBUYAU: Nasib 20 keluarga di sekitar kawasan Sebuyau yang sedang menjalani kuarantin mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi apabila beliau menyerahkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Ensika, Kampung Lubuk Meranti, Kampung Arus Cina, Kampung Kesindu, Kampung Lunying, Kampung Kelait, Kampung Senayang dan Kampung Sawmill Sebuyau.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Simunjan, Asli Yahya yang mewakili Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu.

Difahamkan, keluarga yang dikuarantin merupakan kontak rapat kepada kes positif di Kampung Belimbing Besi dan Pekan Sebangan di mana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan sehingga kini.

Sumbangan makanan yang diserahkan itu diharap dapat meringankan sedikit beban para penduduk yang terlibat dengan arahan kuarantin bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, penduduk kampung yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada ADUN Sebuyau dan kakitangan Pusat Khidmat DUN Sebuyau di atas sumbangan tersebut. -EDISI UKAS

Share
0

add comment