ADUN Stakan Serah Geran MRP RM50,000 Kepada Warga 3 Briged Infantri

SABTU, 4 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan tidak dilupakan apabila turut diagihkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menaik taraf gelanggang bola keranjang berjumlah RM50,000.

Majlis penyerahan cek MRP itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Amar Mohamad Ali Mahmud kepada Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged), Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad di Tanjung Pura, Kem 3 Briged, Kem Penrissen di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud berkata, gelanggang bola keranjang sedia ada sudah lama dan perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk kemudahan warga ATM melakukan aktiviti sukan.

“Dengan siapnya naik taraf gelanggang bola keranjang kelak, warga ATM diharap dapat menggunakan kemudahan tersebut dengan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Brigedier Jeneral Dato’ Azhar Ahmad merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud kerana selama ini sentiasa membantu pihak ATM di Kem Penrissen dan berharap anggotanya memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin apabila ianya siap kelak.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat dan Pegawai Khas ADUN Stakan, Mohamad Ainnie Wahab. -EDISI UKAS

Share
0

add comment